Senjata Agung Islam : The Great Bombard
Sejak
beribu tahun dulu, manusia sering dikaitkan dengan perang, cuma ia
berubah mengikut zaman, khususnya dari segi taktikal, persenjataan,
jumlah korban dan puncanya.
The
Great Bombard, senjata tercanggih Umat Islam pada abad ke 15. Ditakuti
panglima tentera Salib kerana mampu hancurkan kapal perang musuh. Setiap
kali berlaku perang tanpa mengira sebabnya, ia sentiasa membabitkan
penciptaan senjata baru. Menyingkap sejarah perang Islam, sememangnya
diakui tentera Muslimin adalah antara pasukan paling disegani sepanjang
sejarah peperangan dunia. Usah dibangkitkan keberaniannya yang tiada
tandingan kerana ganjaran mati syahid di medan perang sememang
dinantikan tentera Islam. Ditambah pula dengan ketaatan menunaikan solat
ketika perang, itu sudah cukup membuatkan musuh sering terpukau dan
timbul rasa gerun.
Itulah
senjata utama umat Islam ketika menegakkan agama Allah tetapi mereka
juga terkenal dengan taktik dan strategi perang serta inovasi
persenjataan yang dianggap canggih pada zamannya. Satu daripada penemuan
menakjubkan yang membuktikan fakta itu ialah meriam raksasa dari zaman
Turki Uthmaniah lebih dikenali dengan nama ‘The Great Bombard’ yang
menggunakan ubat bedil seberat 1,600 kilogram sebagai pelurunya. Peluru
The Great Bombard seberat 300 hingga 1,600 kilogram. Ilmuwan Islam
menemuinya pada abad ke-12 bersama penemuan lain membuktikan
perkembangan teknologi ketenteraan Islam pada zaman itu. ‘The Great
Bombard’ ialah teknologi paling tersohor, hinggakan mendengar namanya
saja membuatkan musuh ketakutan.
The
Great Bombard diakui teknologi artileri paling maju dan paling kuat
ketika itu yang digunakan oleh Kerajaan Turki Uthmaniah untuk merampas
semula Kota Constantinople pada 1453 daripada tangan tentera Salib.
Artileri legenda yang sangat berat itu yang juga terkenal dengan nama
“The Great Turkish Bombard” dan ketika perang melawan kerajaan Britain
pada 1807, ia terkenal dengan nama “Dardanella Gun” kerana perang
berlaku di Selat Dardanella.
Bangsa Eropah menggelarnya
dengan nama “Muhammad Gun” kerana ia membuatkan jeneral perang dan
tenteranya sudah boleh membayangkan bagaimana kapal perang dan kubu
pertahanan mereka akan hancur berkecai jika terkena tembakan meriam
raksasa itu. Meriam The Great Turkish Bombard digunakan dalam perang
oleh kerajaan Turki Uthmaniah. Senjata raksasa itu bukan setakat gah
dari segi saiznya, tetapi nama besar yang dilabel memang setaraf dengan
kemampuannya, sekali gus membuktikan perancangan membinanya yang
dirancang oleh jurutera, Munir Ali pada 1450 memang berhasil. Mempunyai
saiz panjang 518 sentimeter (sm) (kaliber 8,2) dan berat 18,6 tan,
senjata itu mempunyai dua bahagian iaitu laras dan selongsong di
belakangnya.
Bahagian
laras digunakan untuk menembak peluru yang dibuat daripada bola granit
raksasa dengan berat dianggarkan antara 300 hingga 1,600 kilo, manakala
bahagian selongsong pula mampu menampung tujuh bola granit raksasa (ubat
bedil) atau 15 bola granit ukuran kecil pada satu-satu masa. Disebabkan
saiznya yang terlalu besar, meriam itu hanya boleh melepaskan tembakan
maksimum 15 kali sehari saja, namun kemampuan jarak tembakannya sangat
luar biasa pada ketika itu dengan mencapai jarak 1,760 ela (satu batu
atau 1.61 kilometer).
Peluru-peluru raksasa Great Bombard yang beratnya mencapai 1600 Kilogram! |
Difahamkan, setiap kali tembakan
dilepaskan, ia memerlukan serbuk belerang yang cukup banyak bertujuan
memberikan tenaga maksimum untuk meletup dan melepaskan tembakan. The
Great Bombard dibuat daripada bahan logam terbaik iaitu campuran tembaga
dengan timah putih dan gangsa. Tukang besi yang membina dan menempanya
juga dipilih di kalangan yang terbaik pernah hidup pada zaman itu. Apa
yang membuatkan meriam itu berbeza daripada meriam lain ialah ukiran
seni yang mengandungi unsur kebudayaan Islam pada zaman itu.
Kekuatan dan kemampuan
membolehkan ia cukup sesuai untuk diletakkan di mana-mana saja ruang
pertahanan, di darat, di pantai atau di atas kapal perang ketika
digunakan untuk menyerang kubu musuh atau pertempuran di laut. Kapal
perang Turki yang membawa meriam itu cuma terdiri daripada kapal jenis
galleon dan monitor, setaraf dengan keupayaannya membawa meriam besar
dengan tentera yang ramai. Ketika ‘Pertempuran Dardanella’, meriam itu
menenggelamkan enam kapal Sir John Ducksworth kerana keupayaan
melepaskan tembakan melepasi selat kecil melalui strategi menyerang
jarak jauh.
The Great Bombard yang dipamerkan di Royal Armouries, Fort Nelson, England. |
Pada
1866, Sultan Abdul Aziz memberikan satu daripada ‘The Great Bombard’
yang digunakan dalam Perang Dardanella kepada Ratu Victoria ketika
kunjungan hormatnya ke Britain.
Royal Armouries di Fort Nelson, The British Empire |
Kini,
The Great Bombard atau Dardanella Gun itu boleh dilihat di Fort Nelson,
Portsmouth, England dan menjadi sebahagian daripada koleksi paling
berharga Angkatan Tentera Diraja Britain. Bahkan, pada zaman moden ini,
namanya tetap dikenang dan cukup popular di kalangan penggemar permainan
video RTS (Real Time Strategy) seperti Age of Empire dan Rise of the
Nations. Ini kerana hanya pemain yang berkemampuan tinggi boleh mencapai
tahap mampu memiliki senjata artileri paling ampuh pada abad ke 15
hingga 18 itu dan dianggap kejayaan terbesar jika memilikinya, setaraf
dengan sejarah agungnya yang sentiasa digeruni lawan.
p/s - Senjata milik orang
ketika dulu dicipta sendiri. Kini umat islam di seluruh dunia bergantung
pula pada senjata yang dicipta oleh musuh mereka. Lihat Arab Saudi,
berapa banyak senjata yang mereka miliki dikeluarkan oleh barat ??
No comments:
Post a Comment